Wednesday, March 21, 2018

Doa buat abah (Part 1)


Abah...
Abah hanyalah orang biasa-biasa sahaja. Tidak berpangkat, tidak terkenal. Namun pemergiannya menghadap Ilahi, tersirat kisah pengajaran untukku. Di sini, ku kongsikan bersama, moga kepada yang membaca mendapat manfaatnya.

Masih segar dalam ingatan saat-saat terakhir aku bertemu dengan abah...
Kali kedua abah dimasukkan ke icu kerana sesak nafas akibat dari sakitnya sebelum ini iaitu kegagalan buah pinggang berfungsi. Tetapi kali ini, jantung sudah terhenti selama hampir 4 minit menyebabkan kerosakan pada organ-organ dalaman yang lain. Abah berjaya 'dihidupkan' tetapi dalam keadaan koma dan bergantung sepenuhnya pada alat bantuan pernafasan. Hampir dua minggu di icu, tiada perkembangan positif. Abah diminta untuk dimasukkan ke wad biasa sahaja kerana menurut doktor tiada harapan lagi untuk terus hidup.

Bermulalah sebuah kisah...

Jumaat, 9 Februari 2018

Perjalananku diuji saat aku ingin melangkah ke wad nefro 2b HKL. Memandangkan tempat meletak kenderaan agak jauh, aku perlu berjalan pantas dibawah pancaran sinaran matahari. Panas. Aku merasa sedikit marah dan sedih kerana masa yang ada untuk meluangkan masa bersama abah begitu suntuk kerana aku perlu bergegas semula ke tempat kerja.

Namun aku nekad dan cuba tenangkan diri kerana aku benar-benar mahu melafazkan doa dan berkata-kata kepada abah yang mungkin untuk terakhir kali. Aku berfikir pasti ada hikmah disebalik apa yang berlaku. Aku mula memujuk diri dengan bermonolog dalam hati, "sesungguhnya aku sedang menuju untuk berbuat kebaikan kepada orang tuaku, menghantar makanan kepada ibu, ziarah disamping lafazkan doa untuk abahku yg tenat". Aku perlu bersabar. Motivasikan diri dan betulkan niat semula. Aku kembali tenang... Begitulah caraku sebelum-sebelum ini apabila cuba bertenang apabila menghadapi masalah atau ujian.

Sampai sahaja di dalam wad, mata melilau mencari dan akhirnya terlihat dua susuk tubuh dipenjuru ruang. Seorang dalam keadaan seolah-olah sedang beradu, seorang lagi setia duduk disisi membaca ayat-ayat suci al-quran.
Aku terus masuk meluru kepada dua susuk tubuh tadi, menyapa ibu dan meletakkan bungkusan makanan di atas meja.
Lantas aku memandang wajah kesayangan, memberi salam dan memberitahu tentang kehadiranku dalam nada sayu. Namun tiada balas. Hanya hembusan nafas tenang yang terlihat. Aku terus membacakan doa dari ayat-ayat suci al-quran dengan niat kesembuhan lalu tiup di ubun-ubunnya walaupun hakikatnya aku tahu harapan untuk sembuh adalah tak mungkin kecuali berlaku keajaiban.
Lama ku merenung wajah kesayangan, seperti orang sedang tidur sahaja..
ku lihat jam bulat berwarna hitam putih di dinding dan masa yang ada tidak begitu mengizinkan.

Doa buat abah...

Lantas aku  berdiri rapat dibahagian kepala ayahandaku, memandangnya dengan penuh belas dan kasih sayang lalu menadah tangan untuk melafaz doa : 

                               أعوذُ بِٱللَّهِ مِنَ ٱلشَّيۡطَٰنِ ٱلرَّجِيمِ
                                   بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ-.     
  الْحَمْدُ ِللهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى         
             أَشْرَفِ اْلأَنْبِيَاءِ وَالْمُرْسَلِيْنَ
         وَعَلَى اَلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ أَمَّا بَعْدُ
"Ya Allah ya Tuhanku,
Kau ampunilah segala dosa-dosa ayahku,
dosa kecil, dosa besar, dosa yang dia sedar mahupun tidak"

"Wahai penduduk langit dan bumi saksikanlah bahawa aku ini seorang anak sedang berdoa untuk orang tuaku yang sedang tenat".

"Ya Allah, Kau sembuhkanlah ayahku jika sembuh itu adalah yang terbaik,
namun aku berserah padaMu dan redha andai kata telah tiba waktunya Kau mahu mengambil nyawanya
kerana Engkau lebih mengetahui apa yang terbaik untuknya dan kami semua..."
(Saat aku membisikkan doa ini nafas ayahku menjadi laju, seperti orang yang sedang menangis sebak) Turun naik perutnya.  Sedikit demi sedikit kahaknya keluar dari mulut masuk ke dalam tiub.

Aku meneruskan doa lagi  dengan tenang dan menatap wajahnya penuh kasih sayang. Hatiku kuat mengatakan bahawa  abah mendengar segala apa yang aku lafazkan. Semakin pilu hati ini saat mahu meneruskan doa.
(Ibu pula kelihatan cemas apabila melihat keadaan ayahku begitu. Lalu dia berkata kepadaku dengan nada lemah "tak payah pergi kerja la hari ni..duduk sini.. aku mendengar tetapi tetap meneruskan doa)

"Ya Allah Kau berilah yang terbaik dan teristimewa untuk ayahku,
jika tiba waktunya, Kau kirimkanlah malaikatMu dalam keadaan sempurna,
Kau tenangkanlah ayahku,
berilah keselesaan untuknya,
Kau permudahkanlah segala urusan untuknya, Kau bersihkanlah wajah dan jasadnya, wangikan dia.."

"Janganlah Engkau biarkan dia dalam kelaparan dan kehausan kerana dia tidak pernah membiarkan aku sejak kecil dalam keadaan kelaparan dan kehausan,
Kau ambillah nyawanya dalam keadaan husnul khotimah dan beriman."

"Ya Allah,
Sesungguhnya rahmat dan kasih sayangMu mengatasi segala-galanya,
Kau angkatlah mana-mana amalan kebaikan yang telah ayahku lakukan,
Kau angkatlah darjatnya disisiMu,
Sesungguhnya ayahku ini telah banyak mengajarkanku kebaikan..
dia seorang ayah yang baik, bertanggungjawab, dia telah berkorban dan memberi nafkah sehingga aku mengenalMu dan rasulMu. "

"Ya Allah andai sudah tiba masanya,
Kau jadikanlah kuburnya sebagai taman-taman syurga yang membuatkan dia rasa selesa dan tenang.

Ya Allah,
perkenankanlah doaku ini."

ربنا ءَاتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً  وَفِي الأخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
وَصَلَّى اللهُ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى ءَالِهِ وَصَحْبِهِ وَسَلَّمَ ، وَالْحَمْدُلِله 
رَبِّ العَالَمِيْنَ

Dipengakhiran doaku, kelihatan nafas abah kembali tenang.
Ibu pula berpesan padaku, hantar mesej kepada abang sulung supaya segera datang ke hospital selepas solat Jumaat. 

Selepas itu aku pun bertanya kepada ibu, " sebelum ni abah tak pernah nafas laju macam tu ke?" Jawab ibu, " tak pernah..ni pertama 
kali". Jelas kelihatan pada wajah ibuku yg cemas sebentar tadi kerana selama dia berada di hospital menjaga abah, tidak pernah abah menunjukkan nafasnya begitu. 

Tidak lama kemudian, datang misi untuk mencuci tiub yang mengandungi kahak tadi dan selepas itu mengambil detak degupan jantung abah. Abah seperti tidur sahaja kerana nafasnya begitu tenang. Lega mungkin. 

Tidak lama kemudian, jam menunjukkan 2.30 petang. 
Seorang pegawai keselamatan telah memberitahuku waktu melawat telah tamat. 
Sungguh aku belum puas menatap wajah kesayanganku didepan mata.

Aku juga perlu segera pulang ke sekolah. Namun dengan perasaan hiba aku bangun dan berdiri rapat dgn abah. Lalu aku pun berkata buat kali terakhir. 

"Ya Allah, izinkan aku utk bercakap dgn ayahku. Aku berbisik pada abah, "abah, tetaplah memilih  Allah walau apa jua yg berlaku selepas ini (kerana aku tahu saat sakarat juga ada ujian dan gangguan) kerana kami semua akan memilih Allah juga". Aku memberitahu lagi bahawa aku perlu pergi ke sekolah dan tugasku sebagai guru ini pun adalah hasil didikannya. "Nak sebarkan kebaikan untuk anak-anak murid. "
"InshaAllah segala pahala kebaikan tu nanti akan diniatkan sedekah untuk abah juga. Abah jangan risau,(pujukku dalam masa sama ingin memberi kekuatan kepada abah saat menghadapi sakarat) InshaAllah, Allah akan bagi yang terbaik dan yang teristimewa untuk abah."
"Abah, contek gerak dulu ya, Assalamualaikum..." 
(Sambil mengusap ubun-ubun dan mengucup dahinya) Aku pun bersalaman dengan ibu dan terus bergegas ke tempat kerja.

Di tempat kerja, sekali sekala aku akan melihat mesej dari group whatsapp keluarga untuk dapatkan maklumat terkini abah.  

Kemudian update terkini yang aku terima, abah demam. Aku mula risau.

Malam, setelah ibu pulang dari hospital, aku terus tanya untuk dapatkan kepastian berita abah demam. Ibu pun memberitahu, sebenarnya, abah dah demam lebih kurang dalam pukul 3 tadi.. Elok je lepas aku balik, tak lama lepas tu abah demam.  Fikiranku mula tak keruan.. apa sebenarnya petunjuk yang mungkin Allah nk beritahu. Kalau secara medical, sudah tentu dikatakan ada jangkitan kuman atau sebagainya. Tetapi aku melihat lebih daripada itu. 

Malam seperti biasa, masih sedekahkan bacaan surah untuk abah dan berniat utk bangun solat malam. 

Sekitar pukul 4.15 pagi aku terjaga dan membaca mesej dari abang kedua yang menjaga abah mengikut giliran. 

Update terkini dari abangku pada pukul 4.13 pagi :
"abah baru je ditukar lampin,dibersihkan, dilap,ditukar cadar cuma nafas ada turun naik laju sedikit." Aku lega.

Sekitar pukul 5 pagi baru aku membalas mesej tersebut.
 "Tq update". Tidak lama selepas itu, smartphoneku berbunyi....

(Bersambung)








2 comments:

Juls Julie80 said...

salam ziarah kat sini..semoga abahnya dipermudahkan semua urusannya dunia dan jua di akhirat nanti.. pernah melalui situasi yang sama, arwah ayah sakit buat pinggang jugak..tp bila nak cerita balik, betapa sakitnya perasaan tengok insan yang kita sayang menderita terlantar tak bermaya..

sabar byk2 tau dikk.. :'(

ashutz said...

Terima kasih sudi ziarah... Sama2 lah kita bersabar atas kehilangan insan tercinta..