Monday, March 26, 2018

Doa buat abah (part 3)




Ku renung semula detik-detik pemergian abah.

Mengapa aku begitu nekad mahu melafazkan doa di hadapannya?
Kerana selama ini aku tidak pernah memberitahu bahawa dirinya adalah yang terbaik untukku.

Sebelum nafasnya terhenti,
aku ingin mengungkapkan dalam doa seikhlasnya dari hati,
bahawa dia adalah anugerah terindah dari Ilahi.

Sungguh aku tidak mampu membalas segala kebaikan dan penat lelah yang telah dilalui.
Apatah lagi memberi kesenangan dan kemewahan untuk dinikmati.

Kepada Allah aku memohon, dengan sifat Ar-rahman dan Ar-rahim, aku yakin bahawa doaku sebagai anak, bisa menempatkan abah di tempat yang terbaik dan istimewa disisiNya. Rahmat dan kasih sayang Allah mengatasi segala-galanya. Percayalah, Allah itu maha baik.

Terima kasih Allah...
Hikmah yang tersirat...

Syukur padaMu Ya Rabb,

kerana telah memberi kesempatan padaku untuk melafaz doa dipenghujung nyawa abah.
Kau ilhamkan aku bait-bait doa yang sungguh bermakna.
Kau berikan aku petunjuk bahawa abah mendengar apa yang diungkapkan olehku, sehingga rupanya berubah dan nafasnya naik turun laju sebak seperti orang menangis. Sayu hatiku. Saat itu juga, kurasakan seperti satu keajaiban telah berlaku.

Abah, sewaktu aku kecil, engkau telah mencipta sebuah lagu tanda kasihnya padaku. Dan kini apabila aku dewasa, aku menciptakan sebuah doa yang tulus untukmu.

Syukur padaMu Ya Rabb,

Kerana ku rasakan Engkau telah perkenankan segala permintaanku.
Abah pergi betul-betul dalam keadaan bersih.
Masihku ingat 'update' mesej dari abangku bahawa abah baru dibersihkan, kemudian menerusi perbualan telefon selepas beberapa minit diberi susu, engkau pergi menghadap Ilahi. Kerana itu abangku menangis. Tidak sedar nafas abah terhenti semasa sibuk membersihkan peralatan tiub susu itu walaupun katil dan sinki terletak bersebelahan sahaja. Begitu tenang dan mudah engkau pergi.
Sepertinya, seorang bayi yang tidur baru sahaja dibersihkan dari kotoran kemudian berada dalam keadaan segar, lalu diberi makan (susu) hingga merasa begitu selesa sekali, lantas tidurlah bayi itu semula dengan tenang.. tetapi tidurnya abah dengan tenang adalah buat selama-lamanya...

Teringat kata-kata bekas rakan sekerja abah di akaun facebook selepas ketiadaan abah. "Antara orang yang disayangi." "Sangat lembut apabila berbicara." "Seperti seorang bapa." "Kalau boleh tolong, dia akan tolong." Baru ku tahu sikap abah ditempat kerja. Alhamdulillah, rata-rata bercakap yang baik-baik. Permudahkan urusan orang lain, InshaAllah urusan kita dipermudahkan.

Syukur padaMu ya rabb,

Dipenghujung nafas abah, ibu ada memberitahuku, ibu dapat melihat wajah abah cerah, seperti bercahaya. Itulah kali terakhir ibu melihat wajah abah yang masih bernyawa. Tambahan pula ada seorang bekas rakan sekerja abah datang ziarah pada lewat petang itu, dan sempat berkata "abang mi ni, tengah sakit pun muka cantik,eh, handsome." Semuanya atas kehendak Allah.

Seingatku, abah orang yang suka bersedekah. Sedekah abah bukan tertumpu kepada ahli keluarga terdekat, masjid-masjid, atau anak yatim sahaja. Sedekahnya beberapa kali pada wanita tua kurang waras yang mencari rezeki dengan mengutip sisa sampah di belakang rumah untuk dijual. Abah siap pernah bersembang dengannya. Ternyata abah kasihan apabila melihat wanita tua itu. Di kedai-kedai makan pula, jika datang peminta sedekah atau orang asing menjual barang. Selalunya abah akan hulurkan duit  untuk disedekahkan atau membeli barang tersebut jika mempunyai duit lebih.
Pada binatang juga tidak terlepas sedekahnya. Abah suka berkebun semasa sihatnya. Pernah musang,tupai dan burung masuk di perkarangan rumah memakan hasil tanaman.  Perkara itu tidak membuatkan abah berang. Malah sengaja dia meletakkan makanan di perkarangan rumah untuk memberi makan kerana kasihankan binatang-binatang tersebut kerana 'rumah' mereka telah dimusnahkan kerana pembangunan pesat.  Abah begitu sayangkan kucing, dibelai, dimanjakan kucing yang datang walaupun tidak bertuan. Sanggup keluar semata-mata untuk beli 'lauk' untuk diberikan kepada kucing itu. Begitu pandai abah melayan makhluk yang tidak berakal sehingga ia juga kenal dan mahu bermanja dengan abah. Mengejar, mengikut abah jika ternampak kelibat abah. Masihku ingat lagi,  dulu, abah pernah membela ayam serama. Seronok aku tengok apabila ayam tersebut terbang dan hinggap berdiri di tangan, bahu abah. Ternyata binatang yang dibela juga terasa kasih tuannya disebabkan itu tidak ada rasa takut.
Sayangnya abah pada binatang sehingga dia pernah berpesan padaku supaya berbuat baik pada binatang walaupun pada anjing sekalipun. Kerana binatang juga adalah makhluk Allah.
Allah, rindunya pada nasihat-nasihat arwah abah.

Syukur padaMu Ya Rabb,

Sebenarnya saat abah dimandikan, imam yang membimbing adik beradik lelaki memandikan abah, beliau ada berkata kepada abangku "mayat ni nampak elok je, macam tidur, tak nampak sakit". Tambahan lagi kain putih yang dilalukan beberapa kali untuk menarik kotoran abah, ditunjukkan kepada adik-beradik lelaki  dan berkata "tengok ni, bersih." Masih berwarna putih kain tersebut.
Adik beradik lelaki dan suami juga ada berkongsi bahawa mudah untuk mandikan abah. Masih mudah untuk lentur. Suami memberitahu, saat dia memegang lengan tangan abah, tak rasa panas, tak rasa sejuk. Dia menjadi keliru sekejap. Soalnya dalam hati, "Abah ni hidup lagi ke?"
Saat abah siap dikafankan, masih ada yang terlihat dan berkata tentang keelokan rupa paras abah.
Syukur padaMu ya Allah,
Engkau rezekikan kepada abah dimana kesemua anak-anak ada bersama. Sedangkan ada dikalangan anaknya yang bertugas di tengah-tengah samudera, ada yang menetap di luar negara. Engkau beri kesempatan dan kekuatan untuk anaknya menjadi imam solat jenazahnya. Aku pun tidak tahu bahawa abang sulung telah menjadi imam untuk solat jenazah pada waktu itu. Cerita adik lelakiku yang bongsu, dulu abah pernah berpesan padanya, "Kalau abah mati, abah nak anak abah jadi imam." Sungguh Allah telah perkenankan keinginan abah itu.

Boleh jadi, Allah rezekikan ini, kerana semasa hayat, abah benar-benar menjalankan tanggungjawab dan menyayangi anak-anak termasuk cucu-cucunya. Wallahualam. Jika dikenang, abah  akan bersungguh-sungguh jika melayan dan bermain bersama cucu-cucunya. Kali terakhir abah pergi ke Bangkok pada Disember lepas, cucunya yang pertama telah membuat permintaan untuk tidur bersama atuk. Disuruhnya opah tidur dengan mamading ditempat lain (adik bongsu) kerana dia mahu tidur berdua dengan atuk. Allah, rupa-rupanya itu adalah kali terakhir dia diberi kesempatan untuk tidur dengan atuknya. Sena, cucu pertama abah. Cucu kesayangan. Dari kecil mendapat kasih sayang atuk. Hanya atuk dan ibunya sahaja yang boleh memberi ketenangan sejak bayi lagi. Hebatnya abah. Dengan anak-anakku juga tidak terlepas kasih sayang itu. Cuma dirinya semakin lemah. Abah selalu membantuku memegang atau bermain dengan Adyan jika aku sedang sibuk. Walaupun dalam keadaan tidak mengizinkan, dia akan minta juga kerana kasihan melihat tangisan anakku tanpa layanan. "Abah ni, boleh ke pegang Adyan, abah tak larat tu." Kataku. "Takpe, boleh... Kamu pergila buat kerja dulu." Jawab abah lemah. Dalam hati aku berkata," abah ni, tak larat-tak larat pun masih nak pegang juga." Sampai satu ketika, selepas ketiadaan abah, aku pernah bermimpi. Adyan menangis dipangkuanku saat aku sedang duduk di meja makan. Rasanya waktu itu aku mahu makan. Aku nampak abah ada duduk sebelah kanan di hadapanku dan ibu di sebelah kiri. Aku tidak hiraukan. Tetapi oleh kerana Adyan menangis tidak henti-henti, tiba-tiba abah bersuara, " bak sini Adyan tu." Sambil dia menghulurkan tangan. Aku memandang tepat pada wajah abah sambil berkata dalam hati, " abah, bukan dah takde ke? Kenapa abah nak tolong pegang lagi?". Terus senyap dan aku pun terjaga dari tidur. Berderai air mata saat itu dan aku menceritakan kepada suamiku sambil teresak-esak, dulu masa abah tak larat pun, abah nak tolong pegang Adyan, ni abah dah tak ada pun masih nak tolong lagi.  Allah, baiknya abah. Aku menangis tak henti-henti. Pedihnya rasa rindu hati.

Syukur padaMu Ya Rabb,

Saat abah siap disolatkan, rupa-rupanya ada seorang wanita berusia yang berada disebelah ibuku bertanya, "ni ahli keluarga ke?" "Ya, yang meninggal tu suami saya." Jawab ibuku. Bertanya lagi wanita itu kepada ibuku, "apa amalan arwah ni sampai Allah rezekikan dia macam ni, dapat ramai orang solatkan?" Ibu terdiam. Tidak terfikir soalan itu akan ditujukan dan ibu sendiri tidak tahu jawapannya kerana masih terkejut dengan soalan itu.
"Kongsila dengan saya..." Rayu wanita itu lagi. "Errr.... Sedekah dengan penyayang"  jawab adikku yang cuba membantu memberi jawapan. Dia juga secara spontan menyebutnya. Masing-masing tidak tahu apa jawapan sebenarnya. Hanya Allah maha mengetahui.
Semasa hari pemergian abah, jiran tetangga perlu menghadiri program anjuran persatuan penduduk diluar negeri. Tetapi waktu pemergian abah adalah waktu pilihan Allah, mereka sempat menghulurkan bantuan sebelum berangkat pergi. Kata ibu, ketua penduduk dan seorang lagi jiran telah datang ke hospital dengan menaiki van jenazah untuk bersama mengambil jenazah abah  dan dibawa ke masjid. Sementara jiran sebelah rumah pula membantu bagi segala pengurusan di masjid. Terharu rasanya.
Alangkah indahnya apabila kita hidup bermasyarakat. Terima kasih warga penduduk Taman Setapak Permai yang sepakat.

Sehari aku bercuti dari bekerja.
Aku sempat berjumpa dengan seorang sahabat di sekolah. Aku berkongsi pengalaman sedih dan menceritakan kisah pemergian abahku inshaAllah dalam khusnul khotimah. Setelah mendengar dengan penuh rasa empati, sahabatku pun berkata "inshaAllah, abah syud orang baik, sebab tu dipermudahkan." "Kita ni syud, yang banyak dosa sebab banyak buat dosa dengan orang." Kata-katanya membuatkan aku terpana dan berfikir, lalu membalas " ya tak ya, ya kak." "Betul jugak tu." "Kitakan kena jaga dua perkara yang disebut hablumminallah dan hablumminannas." "Kita kalau buat dosa dengan Allah, kita minta ampun dan taubat, Allah ampunkan." Kataku. "Betul tu syud." "Tapi sesama manusia ni belum tentu lagi." Tambah sahabatku.
Perkongsian dengan sahabatku pada petang itu, benar-benar membuka minda dengan hikmah yang tersirat.Terima kasih sahabat. Selalu mengingatkanku dengan ilmu yang bermanfaat. Walaupun beza umur bagai ibu dan anak. Namun usia bukanlah kayu ukur untuk seseorang itu menjadi sahabat. Semoga Allah balas segala kebaikan untukmu di dunia dan akhirat.

Satu lagi perkara yang perlu aku ambil pengajarannya. Abah orang yang menjaga silaturrahim. Abah seorang yang ramah, sukakan kedamaian. Pernah ibu berkongsi, abah kerap juga menjadi orang tengah dikalangan kawan dan saudaranya. Jika dikampung, dia suka cari dan temukan semula saudara-daranya. Kawan baiknya juga terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama. Masihku ingat mendiang kawan baik abah. Pakcik Salvador. Orang Filipina. Dengan sesiapa sahaja abah mudah berkawan. Pernah seorang nyonya cina datang ke rumah semata-mata menunjukkan album keluarganya dan duduk sembang bersama ditemani ibu dihalaman rumah. Seronok agaknya dapat berkawan dan berkongsi cerita dengan abah.
Pada Januari lepas, kenalan keluargaku semasa di Bangkok datang ke Malaysia atas urusan kerja. Dia mengajak adikku makan malam dan meminta untuk bawa abah dan ibu bersama. Semasa berjumpa Rosario (wanita dari negara Chile) di Bangkok, abah banyak bercakap dengannya. Oleh kerana itu, dia selesa dan berharap dapat berjumpa dengan abah di KL. Rosario yang telah pulang ke negaranya mengirimkan sejambak ros putih disertai ucapan takziah selepas mendapat tahu berita pemerg
Draian abah.
Masihku ingat juga, mak cikku (biras abah) amat sedih dan meluahkan rasa sayangnya pada abah. Dia teringat bila abah datang ke rumahnya untuk menghadiri majlis  makan-makan keluarga, abah sangat berselera. Semuanya dipuji. "Makanan semua sedap. Pandainya masak." Kata mak cik lagi, "tak pernah tak puji. Tak ada yang tak sedap, semuanya sedap."
Begitulah cara abah. Ikhlas  dan suka membuatkan hati orang rasa gembira. Kakak ipar juga merasai kehilangannya. "Abah (suhaimi) adalah kenangan terindah dalam hidup, dapat merasa ada abah mertua yg baik. Lembut percakapan."

Apa yang aku dapat kali ini,
Jagalah habluminallah dan habluminannas. Dua tuntutan ini tidak dapat dipisahkan.
Hal ini kerana keredhaan Allah terletak pada keredhaan manusia. Maka berbuat baiklah sesama manusia dengan kebaikan yang melimpah ruah.
Ketahuilah. Sesungguhnya Allah menyembunyikan keredhaan dan rahmatNya dalam satu perkara kebaikan. Oleh yang demikian, janganlah kita meremehkan sesuatu kebaikan kerana mungkin di dalam kebaikan yang kita remehkan itu terdapatnya keredhaan Allah.

Hadiah hari jadi...

Sempena ulangtahun abah yang ke 63 pada Oktober tahun lepas, ibu telah menghadiahkan senaskah al-quran besar saiz A2 untuk abah. Tujuannya agar abah dapat membacanya kerana sebelum ini abah kerap mengadu matanya tidak nampak. Kabur. Tetapi sayang, abah tidak berkesempatan untuk membacanya.
Melihat al-quran itu tersandar didinding dibilik ibuku, aku pun mengambilnya untuk membaca. Alangkah sedihnya rasa hati apabila pertama kali aku membukanya di muka surat pertama, aku terbaca tulisan ini, "hadiah kenangan hari lahir yang ke 63. To my beloved husband, semoga dimanfaatkan, 18 oct,2017." Ini lah pengajaran terakhir untukku. Kalam itu sebenarnya adalah untuk kami yang masih sihat, masih hidup dan yang bergelar anak, pewaris ibu dan ayah, yang akan meneruskan alam kehidupan ini. Kirimlah pahala bacaannya buat yang telah pergi 'di sana'.  Moga mendapat syafaat bersama.



Belaian jiwa luahan rasa...

Pelbagai rasa bermain dijiwa.
Terasa bagaikan mimpi belaka. Perasaan bagaikan mahu menggila.
Satu nikmat kebahagiaan di dunia telah ditarik olehNya.
Hanya sekelumit iman yang mampu mengawal semuanya.

Beberapa hari selepas ketiadaan abah, perasaan rindu bertaut kembali. Di dalam group whatsapp adik beradik, ku luah dan ucapkan terima kasih kepada abang sulung kerana mengimamkan solat tempoh hari, terima kasih adik beradik lain kerana sama-sama mendoakan abah. Kemudian masing-masing meluahkan rasa sedih sehingga abang sulung membalas, "Sama2... imamkan jenazah abah tu mmg dh jadi tanggungjawab anak laki terutama yg sulung...yop percaya setiap dari kita dah buat apa yang terbaik mengikut kemampuan masing2...abah dah xde sedih tu mmg sedih tapi kita kene move on x boleh nk meratap lama2...anggap la kita semua sedang menuju ke suatu destinasi yg abadi dimana abah dh smpai dulu dan sedang tunggu kita semua disana..."
Allah, perenggan terakhir itu benar-benar mengubat hati yang lara. Betul-betul menusuk kalbu. Ya Allah aku sayang adik beradikku. Sejak kecil sehingga kini terasa hubungan yang erat penuh kasih sayang. Terima kasih mak abah. Terima kasih besarkan kami penuh kasih sayang. Tiba-tiba rasa tidak sabar untuk berada 'disana'. Seolah-olah Abah sebagai ketua keluarga telah memainkan peranan mendahului segala pahit manis kematian dan menunggu kami semua di suatu destinasi baru untuk hidup semula bersama.

Akhir kata, doaku untuk insan-insan tersayang,
"Ya Allah, sesunguhnya aku amat menyayangi anugerah dariMu iaitu kedua ibu bapaku, adik beradikku, suamiku,keturunanku,ahli keluargaku dan saudara maraku. Ampunilah kami dan tunjukkilah kami jalan yang lurus. Limpahkan rahmat dan kasih sayangMu ke atas kami. Lindungilah kami dari setiap azabMu.
Satukanlah, dan temukanlah kami semua di syurgamu, bersama para nabi dan solihin. Amiin..."

T.A.M.A.T














No comments: