Thursday, March 22, 2018

Doa buat abah (part 2)

Sambungan bahagian 1
Gambar lebih kurang 8 tahun lepas
(Aku yang request untuk bergambar macam ni. Those were the days)

Sekitar pukul 5 pagi baru aku membalas mesej tersebut.
 "Tq update". Tidak lama selepas itu, smartphoneku berbunyi.

Panggilan dalam tangisan...

"Jing2 call?" Soalku dalam hati. (Jing-jing : panggilan nama manja kami adik beradik terhadap abang no dua)
Aku dapat rasakan pasti panggilan kecemasan. Accept call.
Dalam nada tangisan, abangku memberitahu perlahan tersedu-sedan bahawa abah telah pergi buat selama-lamanya.
Air mata mula bergenang. Satu-persatu abangku meluah dan menjelaskan  bagaimana  abah pergi. Aku yang dalam kesedihan  mendengar terpaksa mengawal emosiku ketika itu kerana mahu menenangkan abangku. Abangku berpesan untuk memberitahu kepada ahli keluarga yang lain. Aku terus memberitahu suami yang sejak dari tadi berada disisi sabar menunggu berita. Aku melangkah ke bilik sebelah  mengetuk pintu dan memberitahu kakak sulung. Lantas aku turun ke bawah untuk memberitahu ibu dan adik perempuan yang sedang tidur nyenyak. Lampu dibuka dan dengan perlahan aku menyentuh menggerakkan susuk tubuh mereka untuk dibangunkan dan  menyampaikan berita pemergian abah dengan air mata yang belum kering. Sedih. Masing- masing duduk terkesima  berair mata menenangkan diri. Ibu berkata dalam nada sesal
"sebenarnya mak nak tunggu abah malam tadi, tak nak balik lepas maghrib, sebab dah rasa abah macam lain, tapi badan dah tak larat sangat untuk stay kat wad." Aku hanya mendiamkan diri. Aku sangat memahami ungkapan ibu. Selama abah berada di hospital, setiap hari bermula dari pagi hingga malam ibu setia menemani abah. Apalah daya kudrat  yang semakin dimamah usia itu.
 Aku kemudian sibuk menghantar mesej kepada ahli keluarga serta saudara mara yang lain.

Azan subuh berkumandang. Usai solat, Ibu bersiap sedia untuk ke hospital bersama adik lelaki dan suami. Ibu mahu jenazah abah dimandikan dan disiapkan di masjid berdekatan dengan rumah. Ibu bertanya kepadaku "Hari ni hari apa?" "Sabtu." jawabku. "Betul hari ni sabtu?" "Ya. Kenapa mak"? Balasku. "Hari ni bakal jemaah haji ramai kat masjid,ada kursus. Kalau boleh nak kejar cepat supaya sempat jemaah bakal haji solatkan abah."
Sementara ibu, adik lelaki,suami, abang sulung dan isterinya pergi ke hospital, aku bersama kakak dan adik perempuan mengemas rumah dan menyediakan kelengkapan yang diperlukan untuk kegunaan pengurusan abah di masjid nanti. Ibu berpesan untuk memberitahu jiran sebelah  dan serahkan barang tersebut kepadanya untuk dibawa ke masjid kemudian nanti.

Redha...

Sekitar jam 9 pagi, aku,kakak bersama anak-anak dan adik perempuan telah bergerak ke masjid. Jenazah abah yang diiring oleh ibu dan adik beradik lelaki telah tiba lebih kurang setengah jam awal dari kami. Setibanya di masjid, sanak saudara telah berada di perkarangan masjid. Aku bersalaman. Aku berjalan membawa tiga orang anakku menuju kepada abah. Kelihatan beberapa orang saudaraku, ada yang dikenali ada yang tidak sedang duduk membaca surah yassin. Aku memandang ke arah sekujur badan yang terbaring dengan kain putih menutupi muka.
"Ya Allah.., abah..."  Sebak, sedih, pilu. Aku semakin merapati jenazah abah. Tiba-tiba mak cikku berpesan "kalau nak cium, jangan bagi air mata jatuh kena abah, lap dulu." Aku hanya mengangguk. Saat aku menyelak kain putih yang menutupi wajah abah, aku merenung serta melihat terperinci seolah-olah mahu membelai-belai wajah kesayangan itu sambil berkata. "Ya Allah, abah, bersihnya muka abah". Seperti mengukir senyuman dengan mata yang terbuka sedikit. Aku pun mengucup dahinya dengan penuh kasih sayang. Dingin.
Perasaan aku seperti mahu menangis sekuat hati pada mulanya tadi, terus reda dan tenang apabila melihat wajah abah sebegitu rupa. "Terima kasih Allah ." Kataku di dalam hati.
Tidak lama selepas itu, abangku  yang ketiga baru sampai dari Perak tiba di masjid. Aku melihat dengan matanya berair, abang mula mengucup dahi abah dan menutup merapatkan mata abah dengan tangannya. Sayu bila melihat perbuatan abang dalam kesedihan. Sayu apabila melihat adik beradik turut bersedih. Sayu lagi apabila melihat ibu yang sedang duduk berdekatan jenazah dengan wajah duka.

Sekitar jam 10.30 pagi, adik-adik abah telah tiba dari Perak dan urusan untuk mandi diteruskan. Semua anak lelaki abah dan suamiku bersama bimbingan imam masjid memandikan abah. Aku hanya duduk menunggu diluar dengan anak-anak. Tiba- tiba anak sulungku berkata. " Mama, kakak nak tengok atuk." "Atuk buat apa kat situ?" Tanya anakku. "Atuk nak kena mandi." Balasku. "Mama, kakak nak tengok atuk mandi". Lalu ditarik-tarik bajuku untuk dibawa ke sana.  Aku menyerahkan adyan (anak ketiga, berusia 8 bulan) untuk dijaga seketika kepada sepupuku. Aku melangkah masuk ke tempat abah dimandikan bersama dua orang anakku. Naura dan annaz. (seorang 5 tahun seorang 3 tahun)
Kakak meminta untuk didukung kerana mahu melihat dengan lebih jelas. Manakala annaz pula didukung oleh suami yang telah berhenti daripada membantu memandikan abah. Tinggallah adik beradik lelaki yang menjiruskan air, mengusap dan membersihkan abah.
Khusyuk kedua orang anakku melihat atuknya dimandikan. Naura bertanya, " mama, kenapa atuk tutup mata? Kenapa atuk mandi tidur?" "Atuk kan sakit, atuk dah meninggal, sebab tu tutup mata." Jawabku dengan harapan dia fahamlah. Aku melihat dengan mudah abah dimandikan dan dibersihkan, saat abang mengangkat sedikit kedua-dua belah lengannya, masih lembut lagi. Aku pelik sebab bagiku kalau dah jadi mayat patutnya keras. Tetapi nampak begitu senang. Badan abah tampak cerah, bersih. Naura tidak mahu terlepas pandangan dari melihat atuknya. Sampai aku sudah lenguh mendukungnya dan meminta untuk duduk diluar. Naura berkeras. Dia tetap mahu melihat atuk. Apabila pandangannya terhalang oleh abangku yang sedang membersihkan, dia minta ketepi dan minta aku berdiri rapat lagi. "Beraninya Naura ni." Lintasku dalam hati. Kerana, semasa aku kecil, aku takut kalau nak melihat mayat. Dia pula, suka tengok. Annaz pun sama. Mungkin rindu pada atuk tempat bermanja dan bermain serta masih tidak mengerti mengapa atuknya dimandikan dalam keadaan tidur.

Kucupan kali terakhir...

Setelah selesai mandi, abah dikafankan. Sekejap sahaja. Allahu... Sekali lagi, hati terasa mahu menangis sedalam-dalamnya apabila melihat wajahnya yang terbuka itu. Terdengar bisikan daripada kakak ipar ditelingaku
"abah dah meninggal pun muka nampak cantik je. Takde muka orang sakit." Alhamdulillah, kataku dalam hati. Ku renung lama wajah kesayangan dan tiba masa untuk memberi kucupan buat kali terakhir. Aku merapatkan diri ke wajah abah. Ku lihat buat kali terakhir, aku hanya mampu berkata dalam nada hiba,
" Ya Allah, terima kasih Allah... (Air mataku bergenang sambil ukir sedikit senyuman tanda syukur)Muka abah bersih, dah wangi, dah siap, inshaAllah abah, Allah bagi yang terbaik dan teristimewa untuk abah." Lalu aku pun mengucup dahinya buat kali terakhir....
Abah dibawa ke dalam masjid untuk disolatkan. Ya Allah, sekali lagi aku memanjatkan rasa kesyukuran apabila melihat ramai jemaah bakal haji bersegera untuk bersama-sama solatkan abah. Aku berdiri dibarisan paling belakang.
Setelah selesai, kami semua bersedia untuk pergi ke tanah perkuburan Raudhatul Sakinah, Gombak. Disitu abah akan dikebumikan.

Salam terakhir...

Di tanah perkuburan, aku melihat sudah ramai yang berada di sana termasuk saudara mara dab seorang sahabat lama sekolah di SSBJ pun turut hadir. Maaf, tak dapat nak bersembang lama. Aku berjalan rapat menuju ke khemah dimana jenazah abah telah bersedia di sana. Ku lihat kesemua adik beradik lelaki mengangkat dan menunggu ke dalam liang lahad untuk menyambut jenazah abah. Bertambah pilu rasa hati ini. Syukur aku punya adik beradik sebegini. Saat ini aku berfikir sejenak. Untungnya Allah rezekikan abah, ada anak lelaki ramai yang berkesempatan menguruskannya. Aku berdiri rapat berselebahan dengan liang lahad. Aku melihat wajah abang-abang dan adik lelaki kemerah-merahan. Masing-masing menahan rasa sedih saat melihat wajah abah kali terakhir di dalam liang lahad.
Liang lahad tempat bersemadinya jenazah abah dikambuskan dengan tanah sedikit demi sedikit sehingga menjadi sebuah perkuburan. Bacaan doa dan talqin diteruskan. Sesekali, aku menangis dan mengirimkan doa lagi. Selesai semuanya, aku menyiram air di atas tanah kuburnya. Alhamdulillah, dipermudahkan semuanya dan kami bersiap sedia untuk berangkat pulang ke rumah dengan salam terakhir.
"Kitorang balik dulu abah, assalamualaikum..."

Kunjungan tetamu...

Tiba di rumah, penuh dengan tetamu. Makanan pun telah tersedia hasil sedekah dan bantuan saudara mara. Allah.. syukur padaMu. Ramai yang datang ziarah ibu, bersedekah dan mengucapkan takziah. Rakan-rakan guru dan yang pernah mengenali abah juga turut berkunjung ke rumah. Sungguh terharu dengan kehadiran semua tetamu yang hadir. Ibu mertua turut berada di rumah. Aku sempat berkongsi sedikit tentang pemergian abah.
Petang, tetamu mula beransur pulang. Tinggal saudara terdekat sahaja yang masih ada dan ada yang akan bermalam di rumah. Pada sebelah malam, kami sekeluarga solat berjemaah dirumah dan buat doa tahlil. Setelah selesai bermulalah, cerita tentang saat pemergian abah dikongsikan. Masing-masing masih belum dapat terima sepenuhnya bahawa abah sudah tiada. SEDIH dan pastinya RINDU...
Apabila cerita-cerita itu dikongsikan, kesedihanku terubat sedikit. Rasa lega dan syukur sangat-sangat. Kerana cara pemergian abah, Allah beri tanda yang baik-baik. Dan petanda yang baik itu membuatkan aku teruja untuk berfikir dan ingin merungkai hikmah disebalik. Bagiku, pemergian abah tersirat seribu pengajaran buatku yang bergelar sang anak. Sehingga aku memasang niat untuk membuat perkongsian dalam bentuk penulisan andai ia mampu memberi manfaat buat kita semua. Moga-moga pahalanya dapat disedekahkan juga kepada ayahanda tercinta, Allahyarham Ahmad Suhaimi bin Hashim...

" Abah,
semasa hayatmu,
seringkali engkau menasihatiku dalam mengharungi sebuah permasalahan hidup."

"Abah,
semasa hayatmu,
seringkali engkau mengajarkanku ilmu kebaikan untuk diamalkan."

"Abah,
pergimu bertemu Ilahi,
engkau selitkan jua
pengajaran untuk anak-anakmu seperti mana hayatmu dulu."

Allahurabbi, bagaimana lagi harus kutunjukkan rasa syukurku kepadaMu atas anugerah terindah kurniaan ibu bapa di dunia...

(Bersambung)











2 comments:

NINI said...

Sedih la bace ni syud.. syud untung allah bg 30 tahun memori dgn abah.. abah kak nini meniggal umor 7 tahun. bila dpt kenal arwah abah (suhaimi) adalah kenangan terindah dlm hidup kak nini.dpt merasa ada abah mertua yg baik.lembut percakapan. semoga abah tenang di sana. aminn

ashutz said...

Huhu.. syud turut empati dengan k.nini.. 7 tahun tu lebih kurang besar Hana.. huhu..betul, rezeki syud 30 tahun dapat bersama, tetapi bila pemergiannya,banyak pula kenangan bersama yang sukar dilupa. Sama-sama kita doakan yang terbaik untuk arwah ayah k.nini dan abah